Gambar

Thursday, February 3, 2011

REALITI UMAT ISLAM KINI !!

  
 Dewasa kini, kita sering mendengar tentang permasalahan yang menimpa umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam di seluruh dunia sedang menghadapi krisis rohani yang mencampakkan diri mereka ke lembah kehinaan di sisi Allah SWT khususnya, dan di kaca mata masyarakat dunia amnya.
 
Umat Islam telah hilang keperibadian orang-orang yang beriman di mana suatu masa dahulu pernah dimiliki oleh para sahabat dan para salafus soleh yang datang selepas mereka. Kehilangan ini sekaligus melontarkan umat Islam kembali mengamalkan cara hidup yang berlandaskan norma-norma yang sememangnya telah wujud dan dipraktikkan oleh manusia di zaman jahiliyyah.
 
Oleh yang demikian, garis pemisah yang membezakan antara mereka dengan orang-orang kafir telah terhapus lalu kehidupan mereka juga tidak jauh berbeza dengan kehidupan orang-orang kafir. Akibatnya, turunlah azab Allah SWT ke atas mereka, sebagaimana yang sedang dihadapi oleh umat Islam di dunia sekarang ini.
 
 Lihatlah bagaimana nasib yang telah menimpa saudara seIslam kita di seluruh dunia. Mereka hidup dalam keadaan kesengsaraan yang mana mereka telah menerima penindasan yang cukup hebat dari golongan-golongan yang sememangnya benci dan tidak mahu melihat Islam gah di muka bumi ini.
 
Walaupun menerima nasib yang sedemikian, namun rintihan-rintihan suara mereka yang sayu, langsung tidak pernah dihiraukan oleh umat Islam yang lain supaya mereka dapat dibantu untuk menghapuskan kekejaman musuh-musuh Islam ke atas mereka.
 
Malah terdapat juga orang-orang Islam yang telah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam supaya menjatuhkan serta menindas umat Islam yang lain. Pemimpin-pemimpin Islam yang zalim telah dijadikan sebagai boneka mereka untuk melaksana dan meneruskan cita-cita serta impian keemasan mereka selama ini.
 
Ini terjadi akibat tiada lagi kekuatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT serta sensiviti terhadap Islam itu sendiri sehingga sanggup mengabaikan kepentingan Islam semata-mata untuk mencapai dan memenuhi kepentingan diri sendiri.
 
Kita seharusnya mengimbau kembali sejarah perkembangan Islam di zaman Rasulullah SAW
 dan selepasnya agar ia dapat dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan. Menelaah dan meneroka sejarah adalah adalah salah satu faktor terpenting untuk pembentukan peribadi Muslim sejati serta dapat mengenal dengan lebih jauh lagi tentang keadaan umat islam itu sendiri.
 
Seseorang itu tidak akan dapat merasakan keterikatannya dengan umat melainkan ia telah menyatukan diri dengan sejarah umatnya. Jika pengetahuannya tentang umat sudah cukup baik, maka perasaan dan kesedarannya terhadap Islam akan berkembang. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadithnya yang bermaksud : “Barangsiapa yang tidak memerhatikan (memikirkan) masalah kaum Muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka”. ( Riwayat Baihaqi dari Anas ).
 
Dalam keghairahan umat Islam ingin memajukan diri dan negara mereka sama ada dalam bidang teknologi atau ekonomi adalah penting untuk menumpukan perhatian yang berat terhadap Islam. Umat Islam hanya akan menjadi mulia sekiranya mereka mengamalkan Islam dalam kehidupan sebagai suatu cara hidup.
 
 Malangnya umat Islam amat jumud pemikiran sehingga definisi Islam telah silap dan disempitkan tafsirannya. Mereka hanya memahami bahawa Islam hanya terhad kepada pengamalan ibadah  seperti solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan sebagainya.
 Sebenarnya Islam adalah amat luas ruang lingkupnya. Sekiranya sesuatu urusan atau pekerjaan yang dilakukan  dengan landasan hukum-hukum mutlak Allah SWT  maka ia pun dikira sebagai telah mengamalkan Islam.
 
Sebab itulah turunnya bala’ dari Allah SWT terhadap sekalian manusia sebagai suatu peringatan  kerana tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan sehari-harian malah menggantikannya dengan pengamalan yang melanggari batas-batas hakikat perintah Allah SWT terhadap hamba-Nya.
 
 Namun, yang menyedihkannya ada di kalangan umat Islam yang tidak mengaku bahawa kemudaratan yang telah ditimpakan ke atas mereka adalah suatu bala’ dari Allah SWT tetapi menganggap bahawa ia adalah suatu fenomena yang biasa sahaja.
 
Janganlah menganggap bahawa sekiranya mengamalkan Islam sampai bila-bila pun tidak akan maju. Ingatlah bahawa Islam tidak menghalang kemajuan tetapi kemajuan tersebut mestilah berlandaskan dengan hakikat perintah Allah SWT. Segala urusan dan pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Sekiranya kemajuan secara fizikal diimbangi dengan dengan kemajuan rohani di situ akan ada keberkatan dan keredaan dari Allah SWT.
 
Hanya dengan memberatkan kemajuan duniawi tanpa mengiraukan kemajuan rohani dan Islam akan mengakibatkan banyak masalah akan timbul dan muncul. Umpamanya, keruntuhan akhlak umat Islam dan institusi umat Islam yang langsung tidak mempunyai ciri-ciri keIslaman bahkan lebih mirip kepada keyahudian dan kenasrian.
 
Selain daripada itu, keyakinan umat Islam terhadap perintah Allah SWT telah pudar dan sebaliknya mereka telah mempermain-mainkan serta memperlekeh-lekehkan perintah-perintah Allah SWT sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Keyakinan terhadap hikmah daripada perintah Allah SWT tidak lagi bertapak kukuh di hati-hati umat Islam adalah berpunca dari kelemahan iman yang tidak diperbaiki dari sehari ke sehari.
 
Umat Islam perlu diberikan kesedaran tentang Islam dan perbezaan antara ciri-ciri Muslim sejati dengan ciri-ciri Kuffar dari segi amalan-amalan dan iktiqad. Gerakan besar-besaran dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu dijalankan ke atas umat Islam supaya mereka didorong dan digesa untuk berusaha memperbaiki keimanan mereka.  Pengamalan baik dan mungkar adalah penentu keadaan kestabilan alam ini. Pilihlah yang terbaik antara keduanya.
 
Suasana yang melingkungi kehidupan orang-orang Islam pada hari ini telah menjadi buruk dan dicemari dengan perbuatan-perbuatan mungkar manusia. Keadaannya menjadi terlalu dahsyat sehinggakan di dalam masjid pun orang-orang Islam masih melakukan kemungkaran seperti bercakap-cakap mengenai hal ehwal keduniaan, mengumpat sehinggakan ada yang bergaduh dalam perubatan untuk menjadi ahli jawatankuasa masjid.
 
Sekiranya di dalam masjid pun masih wujud kemungkaran, bagaimana rahmat Allah SWT yang diharapkan akan turun ke atas umat ini ? Rahmat Allah SWT inilah satu kurniaan yang amat berharga daripada-Nya di mana tanpa rahmat ini, tentu sekali
kehidupan umat Islam akan hilang kehormatan, keizzahan, kemuliaan dan kesatuan.
 Nu’man bin Bashir r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terdapat segolongan manusia yang mentaati perintah-perintah Allah dan segolongan manusia yang lain melanggari batas-batas Allah. Perumpaan mereka adalah seperti dua golongan yang menaiki sebuah kapal di mana satu golongan berada di atas dan satu golongan lagi berada dalam perut kapal. Apabila golongan yang berada dalam perut kapal inginkan air mereka menyuruh golongan yang di atas supaya mengambilkan air untuknya sehinggalah mereka berkata : “Adakah patut kita kita menyusahkan golongan di atas apabila kita memerlukan air sedangkan kita boleh mendapat air yang banyak dengan melubangi bahagian bawah kapal ini”. Maka sekiranya golongan di atas tidak mencegah mereka dari kebodohan ini, nescaya mereka akan karam kesemuanya”. ( Riwayat Bukhari dan At-Tirmidzi ).
 
Di dalam hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perlu ada suatu golongan yang menyeru ke arah ma’ruf dan mencegah dari sebarang unsur kemungkaran. Kewajipan untuk melaksankannya di kuat lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru ke arah makruf dan mencegah dari sebarang kemungkaran, sesungguhnya mereka itulah golongan yang berjaya”. ( Surah Ali Imran : 104 )
 
Terdapat banyak hadith lain yang menyatakan bahawa apabila sesuatu maksiat dilakukan secara rahsia, maka kesan buruknya secara amnya terbatas kepada orang yang melakukannya. Walaubagaima-napun apabila sesuatu maksiat dilakukan secara terang-terangan dan tidak dicegahi oleh masyarakat sekitarnya maka kesannya akan menimpai semua orang tidak kira yang melakukan maksiat atau tidak.
 
Perkara ini adalah disebabkan fikiran orang-orang yang tidak melakukan maksiat mungkin akan terpengaruh kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain akibat suasana maksiat yang terserlah. Mereka yang tidak benci kepada maksiat pasti tidak akan mencegah maksiat oleh pelaku maksiat.
 Lantaran itu Rasulullah SAW telah bersabda di dalam hadithnya yang bermaksud : “ Apabila umatku telah membuat lima belas perkara maka bala’ pasti akan turun ke atas mereka iaitu :
.
1. Apabila kekayaan negara hanya dimiliki oleh orang-orang yang tertentu sahaja.
2. Apabila amanah dijadikan sumber memperolehi keuntungan ( khianat terhadap amanah ).
3. Zakat dijadikan hutang ( tidak mengeluarkan zakat ).
4. Suami taat pada isteri ( dayus ).
5. Anak menderhakai ibu bapa.
6. ( Sedangkan ia ) berbaik-baik dengan temannya ).
7. ( Dan ) menjauhkan diri dari ibu bapanya.
8. Suara-suara ditinggikan di dalam masjid.
9. Seseorang dimuliakan kerana kejahatannya.
10. Arak diminum di mana-mana sahaja tanpa kawalan.
11. Ramai kaum lelaki memakai sutera.
12. Artis-artis disanjung tinggi dan dipuja.
13. Orang yang paling hina di kalangan sesuatu kaum diangkat sebagai pemimpin.
14. Banyak jenis muzik dimainkan.
15. Generasi umat Islam kini menyalah-nyalahkan umat Islam terdahulu ( Para sahabat : sebagaimana yang dilakukan oleh puak syiah yang telah terkeluar dari landasan Islam yang sebenar )”.
 ( Riwayat At-Tirmidzi )

Semoga kita yang dikuriakan begitu banyak nikmat2 Dari-Nya ,sentiasa mensyukuri dan beterima kasih kepada Allah dengan melakukan Perintah larangan-Nya dalam kita menelusuri hidup yang penuh dengan ujianNya...amin...

No comments:

Post a Comment